comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan tidak akan teralih dengan isu picisan – Saifuddin Nasution

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru ahli politik wajar berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keresahan rakyat.

Menyifatkan rakyat sudah penat dengan amalan ‘politiking’ berterusan, kerajaan yang baru terbentuk katanya wajar diberikan ruang menjalankan amanah menyempurnakan pentadbiran dan menyelesaikan masalah.

“Pelantikan Perdana Menteri dan jemaah Menteri sudah disempurnakan. Parlimen akan bersidang bermula 19 Disember ini dimana undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan menjadi antara agenda utama persidangan.”

“Saya fikir cukuplah ‘politicking’ yang berbaur ancaman. Selesaikan melalui saluran Dewan Rakyat, yang saya fikir lebih bijaksana dan molek,” katanya.

Ditanya mengenai pelbagai label kurang baik diberikan kepada Kerajaan Perpaduan ini, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan pimpinan baharu tidak akan teralih dengan hal picisan.

“Kita punya amanah besar dalam melaksanakan nasihat yang diberikan Yang Di-Pertuan Agong ke arah membawa kestabilan politik, kemudian fokus kepada isu pemulihan ekonomi dan kerja pembelaan rakyat.”

“Kalau nak dilayan istilah semantik dan sebagainya, itu tidak akan membantu kita menjalankan kerja hakiki. Kerajaan baharu akan kekal fokus dan tidak teralih,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pertikaian kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional dengan pelbagai label termasuk “Kerajaan Zina” yang dilemparkan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin mengadakan lawatan dan menyerahkan bantuan bot dan komputer kepada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, IPD Bandar Baharu dan RELA daerah Kulim.

Loading...
Terkini