comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak jalankan tapisan kandungan media sosial – Fahmi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menjalankan tapisan atau pengklasifikasian kandungan bagi membenar atau tidak membenarkan sebarang bentuk aplikasi atau platform untuk digunakan pengguna Internet.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata kerajaan juga pada masa ini, tidak mengenakan apa-apa lesen kepada mana-mana penyedia platform media sosial termasuk aplikasi permesejan segera seperti WhatsApp, Wechat, MiChat dan lain-lain.

“Bagaimanapun, bagi aplikasi yang secara jelas melanggar peruntukan undang-undang seperti membuat penipuan, penyamaran dan sebagainya, tindakan sewajarnya boleh diambil termasuk menyekat aplikasi berkenaan daripada diguna pengguna di Malaysia.

“.. tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan kerajaan adalah berdasarkan aduan daripada masyarakat awam dan pihak yang terkesan berlandaskan lunas perundangan sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi Telegram, Wechat, Michat dan beberapa aplikasi chat lain yang dilihat banyak pengaruh negatif untuk generasi muda.

Fahmi berkata sekiranya terdapat pihak atau individu melakukan sebarang tindak-tanduk atau memuat naik kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada, tindakan perundangan boleh diambil terhadap pihak dan individu berkenaan, bukan kepada platform yang menjadi medium perkongsian kandungan atau maklumat.

Menjawab soalan tambahan Prabakaran berhubung hasrat kerajaan memberi platform kepada belia luar bandar menggunakan media sosial untuk karya kreatif, Fahmi berkata kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mewujudkan 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara.

Beliau menjangkakan jumlah PEDi akan ditambah untuk memangkin ekonomi digital dengan kerjasama penyedia platform media sosial bagi menggalakkan penyertaan anak muda dalam ekonomi digital menerusi platform itu.

“Kerajaan melihat media sosial juga memainkan peranan yang amat penting bukan hanya sebagai medium berekspresi tetapi juga ekonomi digital.

“Ramai dalam kalangan anak-anak muda sekarang melakukan jualan secara dalam talian contohnya seorang usahawan muda seperti Khairulaming yang telah merekodkan jualan Sambal Nyet itu sebanyak RM21.5 juta untuk dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Loading...
Terkini