comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Umum Jimat 5% Perbelanjaan Mengurus, Kaji Semula Projek

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan penjimatan sekurang-kurangnya lima peratus untuk perbelanjaan mengurus daripada baki peruntukkan bagi 2022 manakala projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan akan dikaji semula serta menangguhkan projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan berkata perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding peruntukan RM31 bilion. 

“Kerajaan akan memastikan langkah penjimatan itu tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat” kata beliau.

Sementara itu di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan mengesahkan telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan pada 14 Julai lalu mengenai langkah penjimatan untuk dilaksanakan semua kementerian dan agensi kerajaan.

Antara kandungan pekeliling tersebut adalah kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import, serta penangguhan perbelanjaan yang belum komited.

Namun, langkah-langkah yang berpaksikan kesejahteraan rakyat akan tetap diteruskan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut berkata kerajaan juga akan menyemak dan menilai semula keberkesanan setiap program subsidi dan insentif yang telah dilaksanakan.

Ini selain meneliti sumber hasil dan penjimatan tambahan bagi menampung keperluan tambahan subsidi bagi separuh tahun kedua.

Loading...
Terkini