comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerana hendak ambil bola, kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik – Bomba

Foto tular

BAYAN LEPAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik, dalam kejadian di Jalan Kampung Bukit, Taman Sri Bayu di sini, hari ini.

Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, dikatakan masuk ke dalam bilik janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengambil bola sebelum kemalangan itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Mohamad Hirman Md Rodzi berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 4.55 petang.

Katanya, pasukan penyelamat dibantu anggota dari BBP Seri Balik Pulau dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang kanak-kanak melecur hampir seluruh badan selepas masuk ke bilik janakuasa elektrik berkenaan.

“Kanak-kanak itu ditemukan oleh orang awam dan dibawa ke tempat selamat sebelum pasukan bomba tiba.

“Mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan menaiki ambulans pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Hirman berkata, pasukan penyelamat kemudian membuat penilaian dan ‘size up’ bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat.

“Mangsa dikatakan tersentuh dengan peralatan elektrik di dalam bilik itu sebelum terkena renjatan.

“Kes kemudian diserah kepada pihak TNB bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.43 petang,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal turut mengesahkan kejadian.

“Mangsa dipercayai masuk ke dalam bilik janakuasa elektrik berkenaan bagi mengambil bola,” katanya di sini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini