comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerangka kerja penilaian penerimagunaan 5G dibangunkan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerangka kerja penilaian yang komprehensif bagi penerimagunaan teknologi 5G oleh pelbagai industri di Malaysia termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dibangunkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, kerangka kerja itu akan dibangunkan dengan kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurut MCMC, ke arah itu, Bengkel Pelaksanaan Kerangka Penilaian Tahap Kesediaan Industri Bagi Perkhidmatan 5G Di Malaysia telah dianjurkan di sini semalam.

Jelasnya, bengkel berkenaan adalah tindakan susulan daripada pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan MIDA pada 4 Julai lalu untuk menjalankan program serta inisiatif dengan memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta PKS.

“Penganjuran bengkel sehari itu bertujuan untuk membangunkan kerangka bagi menilai tahap ketersediaan sektor utama ekonomi negara iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian dalam penerimagunaan teknologi 5G.

“Parameter yang akan digunakan untuk menilai tahap ketersediaan sektor utama meliputi aspek lokasi, pelaburan, kemahiran atau bakat, infrastruktur digital dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, sepanjang sesi bengkel yang dihadiri 100 peserta tersebut, pelbagai maklum balas dikemukakan dari pelbagai agensi yang terlibat antaranya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), SME Corporation Malaysia (SME Corp) serta persatuan industri berkepentingan.

Ujarnya, maklum balas itu akan digunakan untuk membangunkan kerangka kerja berkenaan.

“MCMC menyifatkan penganjuran bengkel ini sebagai satu langkah signifikan ke arah memastikan ketersediaan industri dalam mengadaptasi teknologi 5G.

“Ia berupaya untuk meningkatkan tahap produktiviti dan kecekapan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan,” katanya.

Sementara itu, MIDA turut komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penggunaan teknologi canggih terbabit.

“Penerimagunaan teknologi 5G ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dalam industri utama, malahan menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini.

“Ini sekali gus akan memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini