Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang meneliti kerangka perlindungan sosial baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari dan menyeluruh di luar waktu bekerja kepada seramai 7.6 juta orang pekerja secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsipnya, kerangka ini berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan, sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan pada waktunya.
“PERKESO menyediakan Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang merupakan suatu bentuk insuran perlindungan sosial kepada Orang Berinsurans yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [AKTA 789] dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [AKTA 838].
“Faedah-faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.
“Di bawah Skim Keilatan, faedah-faedah yang disediakan adalah Pencen Ilat, Bantuan Ilat, Elaun Layanan Sentiasa, Pencen Penakat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional, ‘Return To Work’, Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, skim itu turut menyediakan faedah perubatan membolehkan Orang Berinsurans yang layak mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan secara percuma atau secara tuntutan Bayaran Ganti Belanja berdasarkan kadar yang diluluskan oleh PERKESO.
Faedah berkenaan tertakluk kepada Akta Fi 1951 di mana-mana klinik atau hospital kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dengan PERKESO.
Jelasnya, dengan kadar caruman yang rendah, pencarum layak mendapat faedah-faedah perubatan di bawah akta yang secara langsung dapat membantu rakyat khususnya pencarum-pencarum dalam kalangan B40.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.