
MUAR: Seorang kerani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang milik syarikat pengeluar tisu basah berjumlah hampir RM3 juta.
Tertuduh, Goh Hui Lian, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menipu pegawai syarikat, La Wai Wei, 31, dengan memperdayakannya supaya pembayaran berjumlah RM480,701, RM505,158 dan RM143,466 yang sepatutnya dibayar kepada pembekal, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Secara keseluruhan ia membabitkan 51 transaksi .
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat terbabit di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Bukit Bakri, di sini, antara Januari hingga Disember 2020.
Bagi pertuduhan keempat hingga kelima membabitkan 88 transaksi masing-masing berjumlah RM872,252, RM308,180 dan RM362,968.
Pertuduhan ketujuh pula, dia didakwa menyeleweng RM45,000 yang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dilakukan di tempat sama antara Januari hingga November 2021.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala Hui Lan diwakili Benedict Chong sementara Lim Shin Yi selaku peguam pemerhati kepada syarikat pengeluar tisu basah terbabit.
Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.