comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerani syarikat didakwa pindah RM445,815 ke akaun sendiri

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 133 pertuduhan pecah amanah wang sebuah syarikat penguji ketulenan emas berjumlah RM445,815 antara Oktober 2019 hingga Mei 2021.

Tertuduh, Teh Ya Ling, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut kertas pertuduhan, Teh yang ketika itu memegang jawatan sebagai kerani akaun di syarikat berkenaan didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat berjumlah RM445,815 ke dalam akaun Bank RHB miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Sungai dalam Daerah Timur Laut, antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala tertuduh diwakili peguam, Teoh Kung Yu.

Mahkamah membenarkan tertuduh  diikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan yang menjadikan jumlah keseluruhan RM66,500 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Februari depan bagi serahan dokumen.

Loading...
Terkini