Tumpuan :
Nasional

‘Kereta sapu’ mungkin akan dilucut hak – JPJ

Foto hiasan

SEPANG: Pemilik kenderaan persendirian yang terus berdegil menjalankan perkhidmatan kereta sapu mungkin bakal berdepan tindakan lebih tegas apabila kenderaan mereka akan dilucut hak bagi mencegah aktiviti haram itu daripada semakin berleluasa.

Ia susulan pendekatan lebih drastik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sudah mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak tiga bulan lalu bagi memastikan aktiviti itu ‘dihapuskan’ dan diselesaikan secara tuntas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, pihaknya mengenalpasti terdapat aktiviti atau perkhidmatan itu dilakukan secara berulang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kebanyakan mereka yang melakukan perkhidmatan itu mampu memperoleh pendapatan antara RM10,000 dan RM30,000, malah apabila dikenakan tindakan, mereka hanya menyelesaikan denda dan kembali meneruskan aktiviti.

“Justeru, pihak JPJ sudah mengadakan perbincangan dengan AGC bagi mana-mana kenderaan yang sudah disita selepas ini kenderaan berkenaan (akan) berdepan dengan tindakan dilucut hak.

“Kami memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tanpa kuasa sah, menjalankan aktiviti memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan secara tidak sah,” katanya pada Ops Khas Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan dan Ketua Cawangan JPJ KLIA S Sarawanan.

Mengulas lanjut, Jazmanie berkata, kebanyakan pengendali khidmat prebet sapu itu menyasarkan warga asing yang tidak mengetahui kadar tambang teksi yang sepatutnya.

“Hasil siasatan mendapati mereka mengenakan bayaran RM100 untuk perjalanan dari Lapangan Terbang ke hotel di Kota Warisan, Sepang dan RM300 bagi setiap perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Kami sudah mencadangkan kepada AGC mengenai pelucuthakan kenderaan digunakan dalam operasi berkenaan dan kami juga mengharapkan keputusan yang baik mengenai perkara ini.

“Kami juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau pemilik atau pemandu kenderaan yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan aduan yang diterima pihaknya berkaitan kegiatan ‘Ulat’ KLIA, pihaknya sudah menahan 469 individu dengan denda dikenakan adalah lebih RM1.66 juta sepanjang tempoh 2022 hingga Selasa lalu (3 Disember).

Katanya, pada 2022 pihaknya menahan 130 individu dan mengeluarkan denda sebanyak RM488,200 dan seramai 161 individu pula ditahan pada tahun lalu dengan denda dikeluarkan RM621,400, manakala bagi tahun ini seramai 178 tangkapan dilakukan membabitkan denda RM554,900.

“Dalam tempoh 10 hari Ops Ulat KLIA diadakan bermula 25 November lalu sehingga Selasa lalu, kami mengesan dan mengambil tindakan tangkapan ke atas 15 ‘ulat’ dan merampas 15 kenderaan membabitkan sedan mewah, kenderaan pelbagai guna dan van.

“Mereka yang ditahan membabitkan 11 warga tempatan, seorang lelaki Pakistan dan tiga lelaki Bangladesh. Ia hasil risikan dan anggota kami turut menyamar sebagai penumpang untuk menahan individu melakukan kegiatan itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini