comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas, empat parah, seorang bayi cedera ringan

Keadaan kereta yang terbabas ke dalam longkang di Kampung Paya Keladan, Jalan Temerloh-Jerantut, petang tadi. – Foto ihsan JBPM

TEMERLOH: Empat termasuk seorang kanak-kanak parah, manakala seorang bayi lelaki mengalami kecederaan ringan apabila sebuah kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kampung Paya Keladan, Jalan Temerloh-Jerantut, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden membabitkan kereta jenis Honda City itu pada jam 4.36 petang tadi.

Susulan itu, beliau berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama sebuah jentera dengan dibantu jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Mentakab, dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi, ketua operasi menyelamat, Ahmad Johar Bidin, mengesahkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah Honda City terbabas ke dalam longkang.

“Anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dari kereta itu dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.

Ismail berkata, mangsa parah ialah pemandu lelaki yang tersepit dan tiga penumpang membabitkan masing-masing seorang wanita dan lelaki dewasa serta kanak-kanak lelaki.

“Seorang bayi lelaki pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini