comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas masuk kuil, bukan kerana pemandu mabuk

Keadaan di tempat kejadian selepas sebuah kereta melanggar tiang kuil di Tanjung Rambutan pagi tadi. -FOTO PDRM

IPOH: Polis menafikan kejadian seorang pemandu kereta yang terbabas hingga termasuk ke sebuah kuil di Tanjung Rambutan, Ipoh memandu dalam keadaan mabuk seperti dakwaan tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata, lelaki 41 tahun itu mengalami gejala hipoglisemia yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri ketika kejadian.

Menurutnya, laporan perubatan mengesahkan penjawat awam itu mempunyai rekod pesakit kencing manis (diabetes).

“Semasa kejadian, pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan menghala ke Changkat Kinding dan sebaik melepasi lampu isyarat, tiba-tiba dia tidak sedarkan diri.

Keadaan itu mengakibatkan kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas memasuki kuil, sebelum melanggar tiang kuil, katanya.

Beliau berkata, polis menerima laporan 8.36 pagi semalam dan tiada mangsa cedera.

Kes disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan.

Azizi menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sebarang komen berbaur provokasi atau sentimen sensitif di media sosial tanpa rujukan dan fakta sahih kerana ia boleh menimbulkan kerisauan masyarakat.-FMT

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini