comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas selepas pemandu larikan diri 20km

Seorang lelaki melarikan diri sejauh kira-kira 20 kilometer (km) selepas kereta dipandunya terbabas dekat KM 7.6, Jalan Pedas-Linggi, di sini, pagi tadi. FOTO: Ihsan polis

REMBAU: Seorang lelaki melarikan diri sejauh kira-kira 20 kilometer (KM) selepas kereta dipandunya terbabas dekat KM 7.6, Jalan Pedas-Linggi, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, suspek dikatakan bertindak melarikan diri ke dalam kebun sawit selepas kereta jenis Proton Saga itu terbabas ke dalam parit di bahu jalan, kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek kemudiannya menjawab persoalan lelaki itu melarikan diri apabila menemui peralatan untuk menghisap dadah.

“Peronda Lebuhraya (EMPV) Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) mengesan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di KM 242, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Senawang, Seremban.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang dipercayai penagih dadah memecut kereta keluar dari lebuh raya menghala ke Jalan Pedas-Linggi, di sini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya terus mengejar lelaki itu dan sebaik tiba di lokasi, kereta jenis Proton Saga dinaiki suspek terbabas ke longkang sebelah kiri jalan.

“Suspek dikatakan membuka pintu kenderaan dan lompat keluar dari kereta sebelum melarikan diri dalam kebun kelapa sawit.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui perkakasan untuk menghisap dadah dan suspek disyaki melarikan diri kerana terbabit dengan penyalahgunaan bahan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sudah mengenalpasti pemilik kenderaan dan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Rembau masih dalam usaha mengesan saspek.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini