MELAKA: Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terjunam dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter di Jambatan Syed Abdul Aziz di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi dan mangsa berusia 53 tahun dari Taman Paya Rumput Indah, Alor Gajah, di sini, terselamat dan hanya mengalami cedera di bahagian badan dan kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Limbongan.
Katanya, sejurus tiba di lokasi mangsa dipercayai terlelap, sebelum keretanya terbabas dan merempuh penghadang jalan hingga terjatuh ke bawah jambatan berhampiran sebuah restoran.
“Pemandu mengalami kecederaan di badan serta kaki kanan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, polis sedang mengesan saksi kejadian dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan Abd Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 5.09 pagi.
Katanya, lapan anggota bomba termasuk tiga daripada Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba jam 5.16 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati terdapat sebuah kereta terbabas dan terjatuh dari jejambat setinggi 30 meter.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada kakitangan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.