Tumpuan :
Nasional

Kerja dalamkan kolam takungan digerakkan secepat mungkin – Exco

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan mengerakkan kerja-kerja mendalamkan kolam takungan air berikutan insiden ban pecah yang menyebabkan kejadian banjir di perumahan Taman Seri Alam di sini kelmarin.

Exco Infrastruktur & Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, perbincangan telah diadakan bersama pihak pemaju selain memastikan tindakan segera diambil bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Kita telah meneliti dan berbincang dengan pihak pemaju dan telah bersetuju untuk mengambil langkah segera, iaitu menstabilkan tebing dan memasang pelat logam untuk sementara yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

“Kemudian akan digantikan dengan struktur kekal sepanjang tebing yang lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu penduduk dan pemaju Taman Seri Alam hari ini.

Mengulas lanjut, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan juga akan digerakkan sebagai ekoran paras air yang telah mula meningkat.

“Kita akan cuba dalamkan kawasan kolam ini supaya dia tak naik lebih dua meter. Sebab sekarang dia dah naik lebih tiga meter.

“Kita juga meneliti dan melihat parit dan longkang untuk dinaiktaraf supaya air nanti dapat dikeluarkan sekali gus boleh menampung kapasiti air ke Sungai Buloh,” katanya lagi.

Tambahnya, perkara itu memang dalam kajian dan pemantauan berterusan akan dilakukan untuk penyelesaian jangka panjang yang dijangka mengambil masa lebih setahun.

Untuk rekod tindakan segera dilakukan di kawasan tebing yang lemah iaitu sepanjang 60 meter dapat disiapkan dalam masa 2 hari kemudian disusuli kerja baik pulih kekal yang dianggarkan mengambil masa hingga sebulan.

Kolam takungan itu berkeluasan tiga ekar dibina pada 2015 bagi menampung pembangunan di Fasa 8 dan 10 serta berkedalaman tiga meter.

Semalam, penduduk Taman Seri Alam, mendesak pemaju kolam takungan air berhampiran kawasan itu bertanggungjawab selepas strukturnya pecah dan menyebabkan banjir kilat kelmarin.

Kejadian kali kedua itu menjejaskan hampir 200 unit rumah pada Ahad lalu dan insiden seumpama itu kali terakhir berlaku pada Disember 2015.

Loading...
Terkini