GEORGE TOWN: Pembaikan paip Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah sehingga menyebabkan insiden lubang benam di Lebuh Bukit Kecil 3, Pantai Jerejak di sini sudah hampir siap.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerja-kerja berkenaan kini sudah pada peringkat akhir setelah dilaporkan berlaku pada 16 Okt lepas.
“Dijangkakan dalam minggu ini boleh siap, tetapi kita tunggu maklumat lanjut daripada IWK,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman penganjuran Karnival Penang Go Digital di Komtar di sini hari ini.
Zairil berkata pemantauan berkala sentiasa dilakukan kerajaan negeri, namun tiada lokasi lain yang dikesan berisiko berlaku lubang benam.
Sementara itu, Zairil berkata lebih 1,000 peserta dijangka mengambil bahagian pada Karnival Penang Go Digital yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth pada 10 Nov ini.
Beliau berkata penganjuran karnival itu selari dengan transformasi Pulau Pinang ke arah negeri digital seperti ditekankan dalam Visi Penang 2030 dengan 30 reruai akan dibuka, di samping pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk sesi perkongsian eksklusif pakar industri.
“Peserta juga berpeluang melawat reruai usahawan dan komuniti yang menjadi rakan kongsi utama inisiatif digital oleh Digital Penang. Turut dianjurkan kelas digital secara percuma yang menawarkan pembelajaran kemahiran asas seperti teknologi mudah alih serta keselamatan Internet,” katanya dan menambah aktiviti lain yang dijangka menarik perhatian termasuk pertandingan e-sukan dan pameran teknologi realiti maya (VR). – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.