comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerja penyenggaraan, penggantian aset di LRA SSP 1 siap jam 7 malam ini – Air Selangor

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan semua kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) mengikut jadual ditetapkan dan dijangka siap pada 7 malam ini.

Menurut Air Selangor, setakat pukul 3 petang tadi, semua kerja berkenaan sudah 63.1 peratus siap.

“Para pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula 3 pagi, Khamis setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor berkata peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka mencapai kira-kira 20 peratus pada 3 petang, Khamis diikuti dengan 90 peratus pada 3 pagi, Jumaat.

Air Selangor dalam kenyataan sama turut memaklumkan waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat dianggarkan pukul 12 tengah hari, Jumaat.

Menurut Air Selangor, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” kata kenyataan itu lagi.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ atau saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com.

Mengikut maklumat awal, sebanyak tujuh kawasan akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini