comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama BN, PH perlu diperkukuhkan bagi hadapi PRN Sabah – Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid  di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi KKDW 2023 di Putrajaya. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) perlu perkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama dengan PH adalah teras utama terutama dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerjasama itu juga adalah teras utama dalam pembentukan kerajaan MADANI di Putrajaya.

Beliau berkata, kerjasama BN dan PH di Putrajaya boleh dibawa ke di Sabah.

“BN akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PH bagi memastikan persefahaman di antara dua parti itu dapat diterjemahkan di Sabah.

“Yang pentingnya BN harus memperkukuh kerjasama dengan PH. Itu adalah teras utama terutama di dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya dan di Sabah juga mungkin suasana politik itu akan dapat diterjemahkan,” katanya kepada media di Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023, di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN sangat dinamik dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang sealiran pegangan politik bagi membentuk kerajaan di Sabah atau menjadi sebahagian kerajaan.

“Kita pernah bersama-sama dengan rakan-rakan kerajaan yang lalu tetapi kita sudah terpinggir sekarang ini,” katanya

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, namun ia tidak menjadikan UMNO tidak relevan di Sabah malah ia memberikan cabaran memperkuatkan UMNO di Sabah.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang kuat bagi membantu kerajaan yang kuat di Sabah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan BN sudah mengadakan beberapa perbincangan di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur.

“Kita juga adakan bengkel. Insya-Allah kita akan umumkan keputusan yang terbaik apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan UMNO Sabah memberi bayangan akan membentuk satu gabungan atau gagasan baru dengan mana-mana parti yang dirasakan boleh bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO negeri perlu mengambil pendekatan itu kerana berpendapat tidak ada mana-mana parti di negeri itu yang mampu bergerak secara solo pada PRN akan datang berdasarkan landskap politik semasa.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, warga kementerian itu perlu memastikan semua pemegang taruh memperoleh manfaat sewajarnya menerusi peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan melalui KKDW.

Beliau berkata, KKDW mempunyai pemegang taruh di seluruh negara yang terdiri daripada kumpulan sasar sama ada di kawasan desa, luar bandar, pinggir bandar serta di bandar yang memerlukan keprihatinan dalam menangani pelbagai isu.

“MARA umpamanya adalah agensi yang tidak hanya menumpukan perhatian terhadap masyarakat di desa tetapi di seluruh negara termasuk di bandar dan di pinggir bandar.

“Persoalannya dengan perbelanjaan kerajaan yang begitu besar tahun lalu, kita sudah sediakan RM7.44 bilion dan kita mengharapkan jumlah lebih besar pada belanjawan akan datang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini