comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama ekonomi digital Malaysia-Singapura boleh jadi contoh negara ASEAN

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital Malaysia-Singapura boleh menjadi contoh kepada negara ASEAN lain dalam menyediakan tenaga kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat permulaan mereka untuk dekad digital.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata melalui kerjasama ini, Malaysia berharap dapat mempelajari dan berkongsi amalan terbaik yang akan memudahkan pembinaan bakat, menaik taraf infrastruktur dan lain-lain sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Beliau berkata, bagi Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Hijau, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan Singapura dalam pengetahuan teknikal untuk keperluan pengawalseliaan bagi kenderaan elektrik (EV), kenderaan autonomi dan inisiatif ekonomi hijau seperti kredit karbon dan lain-lain.

“Ini termasuk penyeragaman garis panduan industri, keperluan teknikal, tatakelakuan, undang-undang dan peraturan serta program pembinaan kapasiti,” katanya kepada media di Singapura selepas majlis menandatangani Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau Malaysia dan Singapura, hari ini.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Tengku Zafrul berkata, rangka kerja kerjasama ini adalah inisiatif antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi digital dan ekonomi hijau.

“Insya-Allah, kerjasama dua hala dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau ini berpotensi memacu pembangunan industri kedua-dua negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi Malaysia dan Singapura.

“Saya bersetuju dengan banyak prinsip disebut Perdana Menteri dari segi pertumbuhan ekonomi yang bermakna.

“Malah, dari dulu, saya selalu berkongsi dengan media bahawa pertumbuhan ekonomi perlu memanfaatkan rakyat, dari segi peluang pekerjaan dan pemerkasaan rakyat untuk membina sebuah kehidupan yang baik, bukan memanfaatkan syarikat besar saja,” katanya.

Beliau berkata, prinsip ini juga perlu diterapkan dalam apa-apa perjanjian dua hala atau pelbagai hala termasuk dari segi Rangka Kerja Kerjasama dengan Singapura dalam Ekonomi Hijau dan Ekonomi Digital.

“ASEAN memerlukan satu kepimpinan kuat untuk kemampanan masa depan rakyatnya. Pada pendapat saya, kerjasama dengan Singapura dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau ini mampu menyediakan kepimpinan itu menyumbang kepada kemakmuran ASEAN pada masa depan,” katanya.

Mengenai prospek pelaburan untuk Malaysia, Tengku Zafrul mengakui terdapat persaingan kuat dan terdapat bidang untuk ditingkatkan, terutama dalam industri yang ingin diberi tumpuan.

Beliau berkata, data MITI yang dikeluarkan baru-baru ini, Singapura menyumbang nilai eksport terbesar dalam kalangan negara ASEAN iaitu RM232.57 bilion pada 2022, diikuti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Katanya, Singapura, Thailand dan Indonesia adalah tiga destinasi eksport utama pada 2022, menyumbang 78.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN. – BERNAMA

Loading...
Terkini