comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerjasama PH-BN wujud kerana PN tolak titah Agong – Rafizi

FOTO : Tangkap layar video TikTok rafiziramli.

PETALING JAYA : Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) wujud kerana Perikatan Nasional (PN) menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan bersama PH.

Perkara itu dijelaskan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli malam tadi dalam satu hantaran menerusi TikTok yang mendedahkan krononologi membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Sebagai seorang penyelaras dan terbabit dalam rundingan, Kerajaan Perpaduan katanya terpaksa ditubuhkan kerana keputusan Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) adalah unik dan seperti beliau dijangkakan, tidak akan ada gabungan mendapat majoriti membentuk kerajaan sendiri tetapi PH akan menjadi blok yang terbesar.

@rafiziramli

#rafiziramli #pakatanharapan #barisannasional #anwaribrahim #perikatannasional #kerajaanperpaduan

♬ An emotional and happy song (long) – bunka

“Lebih unik lagi, keputusan ini (PRU-15) menyebabkan PN atau PH pun tidak boleh membentuk kerajaan sendiri tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN). Mana-mana gabungan memerlukan penyertaan BN untuk membentuk kerajaan.

“Kalau pun PN berjaya mengumpulkan sokongan daripada semua parti lain selain daripada PH atau BN, PN tidak boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, semua gabungan politik kecuali BN juga sedar rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil.

“Rakyat tidak mahu kerajaan yang mengulangi episod pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’ yang mana ahli-ahli Parlimen membida kedudukan kerajaan dengan mengalihkan sokongan semata-mata agar mereka mendapat jawatan menteri” katanya.

Perkara itu, katanya menyebabkan Parlimen meluluskan undang-undang Anti Lompat Parti yang menyekat ahli Parlimen daripada menyokong calon Perdana Menteri daripada parti lain tanpa mendapat keputusan parti masing-masing.

“Ini dilema yang dihadapi semua gabungan sejurus selepas keputusan PRU-15 dimuktamadkan.

PN yang mula-mula mengaku mereka ada majoriti dan mendabik dada akan membentuk kerajaan.

“Mereka sebenarnya tidak jujur kepada rakyat bahawa majoriti yang mereka ada itu adalah hasil daripada ‘ulang tayang Langkah Sheraton’.

“Mereka mengaku konon ada 10 ahli parlimen BN yang memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan tindakan 10 ahli parlimen BN itu tidak mendapat restu dan persetujuan daripada BN” katanya.

Jelas beliau, tiga hari terawal selepas PRU-15, BN sebenarnya membuat keputusan untuk berkecuali, mahu kekal sebagai pembangkang dan tidak mahu menyokong PH atau pun BN sebagai kerajaan.

Secara logiknya perkara ini boleh berlaku tetapi kerajaan minoriti yang akan terbentuk adalah sangat tidak stabil, ia boleh jatuh bila-bila masa sahaja.

Pada masa sama PN yang awal-awal lagi menolak sebarang kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan, sebab itu keadaan menjadi buntu.

“Tidak ada gabungan yang boleh membentuk kerajaan kerana PN menolak PH, dan BN pula mengambil pendirian untuk berkecuali,” katanya.

Rafizi berkata, kebuntuan itu hanya ada jalan keluar apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar gabungan-gabungan politik membentuk satu kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya pada hari Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dahulu yang dimaklumkan mengenai cadangan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam satu borang ataupun nota kertas persetujuan, mereka terus menulis ‘tidak bersetuju’ di atas draf persetujuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan itu.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, kedua-dua mereka terus meninggalkan istana,” katanya.

Namun katanya, Anwar yang kemudian masuk menghadap bersedia memecahkan kebuntuan itu apabila dititahkan mengenai cadangan pembentukan kerajaan persekutuan, memberi persetujuan PH untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Esoknya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap dan juga turut akur dengan titah Tuanku supaya BN tidak berkecuali dan turut sama membentuk kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memberitahu, tindakan beliau mengunci mulut berkaitan Kerajaan Perpaduan sebelum ini adalah kerana beliau adalah salah seorang perunding utama yang memikul tanggungjawab menyelaras penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Jika kita berunding, kerahsiaan rundingan adalah sangat penting supaya tidak merumitkan keadaan,” katanya.

Loading...
Terkini