comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama swasta latih pelajar TVET, selesai ketidaksepadanan pekerjaan 

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat mewujudkan kerjasama dengan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melatih pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah segera itu bagi memastikan golongan berkenaan dilatih dan mendapat pekerjaan yang munasabah, selain sebagai usaha menyelesaikan ketidaksepadanan (mismatch) dalam pasaran pekerjaan negara.

“Kita cadangkan umpamanya, kita ada institut latihan TVET di Pengerang, Johor; maka kita akan minta diambil alih oleh PETRONAS untuk melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran yang memenuhi keperluan PETRONAS. Kita ada DRB-Hicom di Pekan, Pahang untuk bidang automobil dan yang berkaitan, maka kita boleh (minta mereka) ambil alih dan menjalankan (hasrat ini).

“Kita bincang umpamanya dengan pihak Sunway, dia boleh ambil (institut TVET) di Ipoh, Perak untuk memenuhi kegiatannya, manakala Berjaya Corporation Berhad untuk bahagian perhotelan, pelancongan atau perkhidmatan umumnya.

Kita ada kelompok daripada syarikat perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhry umpamanya, dia ambil sebahagian (institusi TVET),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan TVET pada Belanjawan 2022 adalah sebanyak RM6.7 bilion melibatkan 500 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan 250,000 pelajar.

Ia merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Jawatankuasa Penyelarasan TVET akan mengenal pasti langkah tambahan bagi menyelesaikan masalah membabitkan TVET termasuk dari sudut latihan dan kemudahan yang disediakan.

“Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera dan selainnya kita akan jelaskan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini, insya-ALLAH,” katanya.

Loading...
Terkini