
Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kesalahan tuntutan palsu meningkat 41.1 peratus tahun lalu.
Pertambahan jumlah kertas siasatan turut direkodkan bagi kes memberi rasuah sebanyak 17.9 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun memaklumkan secara keseluruhan kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan rasuah lain menunjukan penurunan 1.0 peratus kepada 820 kes (2022) daripada 828 kes (2021).
Biarpun begitu, bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 6.8 peratus pada 2022 dengan 909 tangkapan berbanding 851 tangkapan (2021).
“Bilangan tangkapan bagi kesalahan tuntutan palsu pada 2022 meningkat sebanyak 66.9 peratus,” menurut laporan itu.
Manakala, tangkapan bagi memberi rasuah, menerima rasuah dan salah guna kedudukan mencatatkan penurunan dalam tempoh yang sama.