comscore
Tumpuan :
Kes

Kertas siasatan kes ugutan bunuh Radja sudah lengkap

Kumpulan Radja ketika penampilan pada konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru. – FOTO: Tourism Johor

JOHOR BAHRU: Kertas siasatan berhubung dakwaan kes kumpulan muzik Indonesia, Radja yang dilemparkan kata-kata kesat serta menerima ancaman bunuh, Sabtu lalu, sudah lengkap.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia selepas pihaknya selesai merakam keterangan 17 individu serta dua suspek berhubung kes itu.

“Kita mengesahkan telah melengkapkan kertas siasatan. Setakat ini 17 individu dan dua suspek diambil keterangan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.

Sabtu lalu, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlakunya salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga kumpulan muzik berkenaan.

Dua lelaki dipercayai wakil penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.

Ia berlaku selepas kumpulan muzik itu tidak dimaklumkan tentang sesi ‘Meet and Greet’ atau suai kenal dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancangkan pihak penganjur.

Dua suspek masing-masing seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan polis selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini