comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerugian hasil negara cecah RM1.25 juta sehari berpunca penyeludupan diesel – JPJ

Aedy Fadly menunjukkan tangki kereta yang dikesan diubah suai untuk menyeludup diesel. -Foto: NSTP

BUKIT KAYU HITAM: Kegiatan kenderaan asing melakukan penyeludupan diesel rentas sempadan menyebabkan negara mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM1.25 juta sehari.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mendapati ada kenderaan asing berulang alik melalui sempadan Malaysia-Thailand hingga lima kali sehari untuk melakukan kegiatan itu.

Beliau berkata, kenderaan asing terbabit dipercayai diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi membolehkan diesel diseludup dalam kuantiti besar.

“Penyeludupan melalui satu trip perjalanan itu saja sudah boleh menyebabkan kerugian dianggarkan sekitar RM250,000 berdasarkan kapasiti diesel yang dibawa.

“Jika kenderaan terbabit berulang alik lima kali sehari, ia boleh menyebabkan ketirisan hasil hingga RM1.25 juta kepada negara,” katanya pada sidang media di Depoh Tahanan Kenderaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), di sini, semalam.

Justeru, Aedy Fadly berkata, JPJ melancarkan ‘Op Khas Tangki’ bermula Rabu lalu dengan setakat ini, 18 kenderaan asing berjaya ditahan.

“Dalam operasi ini, kita memfokus kenderaan dari Thailand, termasuk kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan.

“Hasilnya, kita berjaya menyita dua treler, lima pikap dan sebuah kereta jenis Toyota Corolla di CIQS Bukit Kayu Hitam, manakala 10 lagi kenderaan disyaki terbabit penyeludupan pula ditahan JPJ Sungai Petani,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini