comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes baharu COVID-19 meningkat kepada 1,913 kes

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 41.7 peratus menunjukkan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini iaitu 1,913 kes pada minggu epidemiologi kelima tahun 2023 (ME5/2023) berbanding 1,350 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tempoh itu adalah antara 29 Januari hingga Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa indikator COVID-19 yang lain menunjukkan penurunan dan tiada perubahan sepanjang minggu berkenaan.

“Bilangan kes sembuh menurun 41.7 peratus (2,177 kes kepada 1,270 kes), manakala kes kematian menurun sebanyak 62.5 peratus iaitu daripada lapan kepada tiga kes,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan sebanyak 33.3 peratus juga dapat dilihat pada kemasukan pesakit di hospital membabitkan kategori satu dan dua.

“Bagi pesakit tahap empat dan lima, kekal dan tiada perubahan pada 0.5 peratus. Peratus pengisian katil bukan kritikal dan di unit rawatan rapi (ICU) kekal serta tiada perubahan iaitu masing-masing lapan dan empat peratus.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan peningkatan dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat berkenaan meningkat sebanyak 27.1 peratus.

“Bilangan kes COVID-19 yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 8.5 peratus, manakala kes yang dirujuk CAC ke hospital menurun 58.3 peratus,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, hasil surveilan COVID-19 di lokasi sentinel di seluruh negara mendapati 15 sampel dalam kalangan pesakit seperti influenza (ILI) dikesan positif dengan kadar positif adalah 1.9 peratus.

“Selain itu tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 pada ME5/2023,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini