Tumpuan :
Nasional

Kes buli: Rombak ALK, Mindef akan teliti keperluan – Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan meneliti semula keperluan bagi merombak pentadbiran di dalam Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) susulan insiden beberapa kes buli baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ALK sememangnya berada di bawah kendalian Kementerian Pertahanan.

“ALK memang di bawah pentadbiran Mindef, untuk rombakan kita akan teliti semula dan ambil kira dimana kelemahan yang berlaku.

“ALK dan UPNM memang berbeza, pegawai kadet dia bawah Kementerian Pertahanan tetapi apabila dia belajar dia akan ke UPNM,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, sebarang keputusan mengenai pentadbiran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pada 8 November lalu, Pegawai Kadet ALK UPNM didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Baru-baru ini, satu lagi kejadian buli dilaporkan membabitkan penuntut Tahun 1 yang retak pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas mendawak dipijak pelajar senior.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini