KUALA LUMPUR: Keterangan suspek kes seorang penuntut junior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera dibuli akan diambil petang ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan akan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Suspek dijangka akan diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada petang ini.” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu katanya, seramai sembilan individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, sembilan individu sudah dirakam keterangan termasuk mangsa.
Difahamkan, mangsa antara individu diambil keterangan dengan proses rakaman itu dilakukan di hospital kerana mangsa sedang menerima rawatan kerana kecederaannya.
Sebelum ini, media melaporkan penuntut tahun satu UPNM, Kem Sungai Besi, di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.
Rusdi dipetik berkata, lelaki berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.