Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Langkah pengasingan pelajar Tahun 1 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilakukan bertujuan mencegah dan membendung kejadian kes buli daripada terus berulang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ia termasuk tindakan memasang kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan semua blok asrama.
“Kita asingkan pelajar pelajar Tahun 1 dan pelajar senior dari segi tempat tinggal dan dari segi aras juga kita telah bezakan.
“Kita juga telah pasang CCTV di semua blok dan akan tambah lagi jumlah pemasangan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan kadet berhubung isu seumpama itu.
Jelasnya, insiden buli yang berlaku baru-baru ini dibimbangi boleh menjejaskan masa depan pelajar khususnya bagi mereka yang hampir menamatkan pengajian.
“Bila berlaku kes, mereka akan terjejas, akan diberhentikan maka mereka perlu bayar semula kos pengajian.
“Apabila kes melibatkan siasatan polis dan memerlukan mereka hadir ke mahkamah saya pasti pembelajaran mereka akan terjejas dan kalau berdasarkan AUKU, mereka memang akan digantung,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan penuntut Tahun 1 UPNM, Kem Sungai Besi, di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti sama melecur pada bahagian badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.