Tumpuan :
Nasional

Kes buli UPNM: Polis masih tunggu laporan mangsa, tentera – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima laporan daripada mangsa ataupun dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan kes pegawai kadet cedera dibuli senior di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjalankan siasatan sekiranya ada laporan dibuat oleh pihak terbabit.

“Kita masih menunggu laporan dari kedua-dua pihak,” katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli membabit seorang pegawai kadet di UPNM.

Sebelum itu, dilaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera, baru-baru ini.

Menurut sumber, difahamkan mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan menjadi mangsa buli penuntut senior dan cedera dipercayai ditekap seterika.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil maklum berhubung laporan media yang tular.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu kerana didapati membunuh Zulfarhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini