comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis ambil keterangan pengasuh, dua ahli keluarga

Foto: Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Polis hari ini memanggil pengasuh kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin serta dua ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Auni Afiqah Abas, 28 tahun, dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Petaling Jaya, sekitar pukul 11.26 pagi tadi dengan menaiki Perodua Alza putih.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dihubungi Buletin TV3 mengesahkan perkara itu.

“Ya. Polis ambil keterangan tiga individu iaitu pengasuh dan dua ahli keluarga dia termasuk ibunya. Beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan”, katanya.

Jumaat lalu, ibu bapa Zayn ditahan di sekitar Puncak Alam pada jam 10.05 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Kedua-duanya direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merampas telefon bimbit ibu dan bapa mangsa bagi membantu siasatan.

6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan Zayn dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Loading...
Terkini