comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan, polis tidak pernah putus asa 

PETALING JAYA: Walaupun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menawarkan ganjaran RM20,000 kepada pihak yang memberi maklumat berhubung kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin, tetapi tiada yang tampil berbuat demikian.

Setakat ini jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, tiada perkembangan baharu membabitkan kes itu.

“Seperti mana Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain) maklum, kita tidak pernah putus asa.

“Kita masih meneruskan siasatan dan ada pasukan yang bekerja dalam kes ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

6 Februari lalu, Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata pemberian ganjaran itu dibuat melalui polis Selangor dalam usaha membantu menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak terbabit.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lalu di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini