comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes dadah, jenayah seksual terhadap kanak-kanak Kelantan amat membimbangkan  

 

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KOTA BHARU: Sebanyak 13,579 kes didaftarkan membabitkan kes sivil dan jenayah di Mahkamah Kota Bharu dengan kes kesalahan berkaitan dadah direkodkan paling tinggi sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata daripada jumlah itu, 6,412 adalah kes jenayah termasuk sebanyak 3,683 kes berkaitan dadah.

“Sebanyak 72 kes didaftarkan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi, 254 kes di Mahkamah Sesyen dan di Mahkamah Majistret pula sebanyak 3,357 kes.

“Badan Kehakiman sentiasa komited untuk memastikan semua kes dilupuskan dengan efisien. Namun demikian, untuk menangani mahupun mencegah kesalahan jenayah terutamanya kesalahan berkaitan dadah, peranan mahkamah semata-mata tidak mencukupi.

“Sebaliknya, semua pihak hendaklah bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing demi membanteras isu ini kerana kesannya yang amat dahsyat sehingga memusnahkan masa depan terutamanya generasi muda, bahkan boleh melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Pada masa sama beliau berkata, kes membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu juga amat membimbangkan iaitu 59 kes berbanding kes berhubung jenayah seksual dewasa sebanyak 18 kes sahaja.

Katanya, dalam hal ini semua pihak hendaklah sentiasa cakna dalam memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak yang menjadi golongan rentan sentiasa diberikan keutamaan dan mangsa kanak-kanak diberikan perlindungan sewajarnya.

“Di pihak mahkamah, kes jenayah seksual kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan menerusi pengendalian prosiding dalam mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini