Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-37 tahun 2024 (ME 37/2024) bagi tempoh 8 hingga 14 September lalu berkurangan kepada 1,794 kes berbanding 1,870 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan pada minggu berkenaan.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 37/2024 adalah sebanyak 100,236 kes berbanding 84,865 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Manakala terdapat 89 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 59 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebanyak 43 lokaliti hotspot dicatatkan pada ME 37/2024 berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 32 lokaliti di Selangor, masing-masing tiga lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perak, Negeri Sembilan (2), Pulau Pinang (2) dan Kelantan (1).
Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, tiada kes chikungunya direkodkan pada ME 37/2024 dengan jumlah kumulatif kes tersebut kekal 72 kes.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,934 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan semua keputusan adalah negatif,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan masyarakat agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala demam denggi seperti demam dengan suhu tinggi secara mengejut, sakit otot, sakit sendi, sakit pada belakang mata dan sakit kepala.
Ujarnya, bagi memastikan pengesanan awal dapat dibuat, semua kes disyaki denggi akan dijalankan ujian pengesahan demam denggi menggunakan kit ujian pantas combo yang mana keputusan boleh diperolehi dalam masa 20 hingga 30 minit.
“Demam denggi boleh menjangkiti manusia tanpa mengira jantina dan usia. Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelakkan berlakunya kematian akibat komplikasi demam denggi.
“Tidak peduli, maut menanti. Tiada Aedes – tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.