comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi naik 16 peratus, 2 maut

Foto hiasan.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 tahun 2022 bagi tempoh 30 Oktober hingga 5 November lalu meningkat 16 peratus atau 233 kes daripada 1,460 kes pada minggu sebelumnya kepada 1,693 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 51,262 kes berbanding 22,101 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan 29,161 kes (131.9 peratus).

“Manakala 35 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 18 kematian,” katanya dalam kenyataan mingguan mengenai situasi semasa demam denggi di negara ini, hari ini.

Beliau berkata, 50 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 56 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 31 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, 14 lokaliti hotspot di Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya (4) dan Melaka (1).

Selain itu, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan 12 kes pada ME ke-44 dengan enam kes dari Pulau Pinang, lima kes dari Selangor dan satu kes dari Negeri Sembilan.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 682 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,739 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dr Noor Hisham menasihatkan penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera melupuskan bekas-bekas yang menakung air di persekitaran sejurus banjir surut.

Bagi kawasan lopak air atau bekas takungan air yang sukar dilupuskan, beliau menyarankan supaya membubuh bahan pembunuh jentik-jentik .

“Banjir kilat yang melanda beberapa buah negeri termasuk di kawasan Lembah Klang baru-baru ini menyebabkan banyak sampah sarap serta bekas- bekas hanyut dan terdampar di persekitaran.

“Bekas-bekas yang menakung air ini sangat berpotensi untuk menjadi tempat nyamuk Aedes membiak dan menyebabkan wabak denggi. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya, dan zika,” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini