comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi turun 7 peratus minggu lalu

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-46/2022 bagi tempoh 13 hingga 19 November lalu, menurun 7.1 peratus atau 122 kes iaitu daripada 1,715 kes pada minggu sebelumnya kepada 1,593 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kematian direkodkan akibat komplikasi penyakit jangkitan virus itu.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 54,570 kes berbanding 23,057 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 31,513 kes (136.7 peratus).

“Manakala sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan mingguan mengenai situasi semasa demam denggi di negara, hari ini.

Beliau berkata, 61 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 68 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

32 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (19), Kuala Lumpur dan Putrajaya (8), serta masing-masing satu lokaliti hotspot di Perak dan Sarawak.

“Survelan chikungunya merekodkan sebanyak empat kes pada minggu ke-46 dengan dua kes dari Pulau Pinang dan masing-masing satu kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Negeri Sembilan.

Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 692 kes,” katanya.

Menurutnya, 1,884 sampel darah dan 17 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Sekiranya individu mengalami gejala demam, sakit sendi atau sakit badan, sakit kepala dan lain-lain, segera dapatkan rawatan dan jangan bertangguh. Jangan leka, demam denggi boleh meragut nyawa. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Loading...
Terkini