comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi turun sedikit minggu lalu

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di negara ini pada Minggu Epidemiologi ke-17 tahun ini bagi tempoh 21 hingga 27 April lalu berkurangan 84 kes iaitu sebanyak 2,237 kes berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes
bagi tempoh sama tahun lalu.

“Manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 51 lokaliti dikenal pasti di Selangor, empat lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Pulau Pinang, masing-masing dua lokaliti Perak dan Kedah serta satu lokaliti di Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi memaklumkan, tiada kes dan tiada wabak chikungunya direkodkan pada Minggu Epidemiologi berkenaan.

Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 23 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri dengan memakai pakaian berwarna cerah, baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan produk penghalau nyamuk (repelan) bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.

Selain itu, elakkan berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

“Dinasihatkan agar melakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi di dalam rumah.

“Orang ramai juga boleh menyemak status wabak atau hotspot denggi bagi destinasi yang dituju melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my) sebagai langkah berjaga-jaga dan seterusnya mengambil tindakan proaktif untuk mengelak terkena jangkitan.
“Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini