comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes denggi meningkat 37.3 peratus di Melaka

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kes denggi di negeri ini meningkat sebanyak 37.3 peratus dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebanyak 103 kes denggi direkodkan sejak 1 Januari sehingga 4 Februari lalu.

Berbanding tempoh sama tahun lalu, kata beliau, sebanyak 75 kes direkodkan.

“Sehingga minggu epid kelima yang berakhir pada 4 Februari lalu, sebanyak 103 kes denggi didaftarkan di negeri ini.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 28 kes atau 37.33 peratus berbanding tempoh masa sama tahun lalu di mana 75 kes telah didaftarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, jumlah yang direkodkan pada minggu epid kelima bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak tujuh kes berbanding minggu sebelumnya yang hanya mencatatkan 96 kes.

Kata beliau, daerah Melaka Tengah mencatatkan rekod tertinggi iaitu 79 kes.

Ia ujarnya, diikuti Jasin dan Alor Gajah masing-masing mencatatkan 17 dan tujuh kes.

“Bagi daerah Melaka Tengah, kawasan Ayer Keroh dan Bukit Katil dianggap sebagai kawasan titik panas apabila masing-masing mencatatkan 23 dan 10 kes,” jelasnya.

Tambahnya, tiga lokaliti di daerah Melaka Tengah yang dikesan sebagai kawasan panas wabak denggi iaitu Taman Bunga Raya di Jalan Teratai, Taman Seri Cempaka dan Pangsapuri Taman Tasik Utama di Ayer Keroh yang keseluruhannya mencatatkan 23 kes.

Sementara itu, tambahnya, tiada kematian direkod dalam tempoh minggu epid kelima ini.

Loading...
Terkini