Tumpuan :
Nasional

Kes gaduh penyokong bola sepak, beberapa lagi individu bakal ditahan – Polis

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi individu bakal ditahan susulan kes pergaduhan membabitkan kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang menyatakan seramai lapan individu telah ditahan setakat ini menerusi video pergaduhan yang tular.

“Kita sedang melengkapkan siasatan dan akan menjejaki beberapa individu lain. Berdasarkan rakaman yang jelas, Insya-Allah kita akan buat tangkapan. Jika terdapat gambar yang tidak dapat dikenal pasti, kita akan keluarkan kenyataan media untuk meminta bantuan orang ramai.

“Arahan saya jelas, tangkap semua yang terlibat dalam insiden ini, terutamanya mereka yang mencetuskan pergaduhan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Lelaki/Wanita Siri 1/2024 hari ini.

Sebelum ini, insiden pada 21 Disember lalu itu memaparkan pergaduhan melibatkan 20 hingga 30 orang yang bertindak ganas di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.

Susulan kejadian itu, beberapa infrastruktur LRT turut dilaporkan rosak akibat tindakan beberapa individu yang menendang pintu tren serta membaling tong sampah.

Dalam pada itu, Datuk Rusdi turut berkata, polis akan mempertingkat kawalan keselamatan di beberapa lokasi ‘hotspot’ di sekitar ibu negara sebagai persiapan sambutan Tahun Baharu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini