KUALA LUMPUR: Seramai 209 kanak-kanak termasuk bawah umur bersama penjaga yang ditahan atas kesalahan di bawah Jabatan Imigresen ditempatkan di lima Baitul Mahabbah di seluruh negara sehingga September lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Baitul Mahabbah adalah projek rintis iaitu program berasaskan komuniti sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak.
“Program ini membolehkan pemindahan tahanan kanak-kanak dari depot Imigresen ke suatu premis lain di luar dari depot untuk kanak-kanak yang berumur 10 tahun dan ke bawah bersama ibu atau penjaga mereka.
“Baitul Mahabbah menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak itu bagi memastikan perkembangan fizikal, mental dan emosi yang lebih sempurna,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada program berasaskan komuniti dikaji sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan Imigresen.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, KDN akan membuka satu lagi Baitul Mahabbah yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu di Johor dalam masa terdekat.
Beliau bagaimanapun berkata, penempatan ini adalah bersifat sementara sehingga proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan.
“Beberapa sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara juga sedang dijalankan bagi meneliti pelbagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak melalui program berasaskan komuniti.
“Ia bagi memastikan pelaksanaan program itu selari dengan perundangan dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Menurutnya, di Jabatan Penjara Malaysia tiada program khusus bagi program komuniti kepada kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen.
“Bagaimanapun, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk mengintegrasikan semula banduan dalam masyarakat melalui program pemulihan dalam komuniti mengikut syarat dan kelayakan tertentu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.