comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes Jana Wibawa: Adam Radlan dibicara bermula Mei depan

Bicara kes Jana Wibawa Adam Radlan bermula Mei 2024 – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perbicaraan tiga kes rasuah berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan bermula Mei tahun depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim, Suzana Husin ketika sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Adam Radlan, 42.

Perbicaraan akan berlangsung selama 15 hari, iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun manakala Julai pada 9, 10, 11, 22, 23 dan 24 Julai manakala 5 hingga 7 Ogos, tahun depan.

Hakim itu turut menetapkan pengurusan kes berkenaan pada 31 Oktober depan.

Semasa prosiding, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan berhasrat  memindahkan dua kes rasuah dihadapi tertuduh ke mahkamah ini, untuk dibicara bersama tiga kes lain.

“Kami akan memfailkan permohonan secara bertulis dalam masa dua minggu dan pada prosiding ini, kami telah menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan.

”Seramai 20 saksi akan dipanggil untuk kes pendakwaan,” kata Farah Yasmin.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Dia turut berdepan satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat terbabit mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga dituduh menerima RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini