comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes kanser diramal meningkat dua kali ganda menjelang 2040 -Pakar

Foto hiasan

CHERAS: Pakar meramalkan kes kanser di Malaysia, akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sebanyak 48,639 kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan di negara ini pada tahun 2020 seperti dilaporkan oleh Globocan.

Katanya, ketika ini kanser hati adalah salah satu daripada lima kanser paling lazim di Malaysia selain kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser nasofaring.

“Kanser hati primer yang bermula dari dalam hati itu sendiri, malangnya ia mempunyai salah satu prognosis yang paling teruk kerana sering didiagnosis pada peringkat lewat apabila gejala telah muncul.

“Malah, kadar kematian kanser hati melonjak secara global, didorong oleh wabak obesiti dan diabetes.Hepatitis B adalah penyebab paling lazim untuk kanser hati primer di seluruh dunia termasuk Malaysia dan menyumbang kepada 44 peratus daripada kes kanser hati, diikuti rapat penyakit hati berlemak dengan 42 peratus kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 itu dianjurkan oleh Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM).

Dr Dzulkefly berkata, laporan oleh World Obesity Atlas 2023, baru-baru ini turut menyatakan bahawa Malaysia bakal mengalami peningkatan sangat tinggi dalam kadar obesiti dewasa dan kanak-kanak yang mungkin memberi kesan ekonomi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.8 peratus atau RM94.4 juta menjelang 2035.

Selain itu beliau berkata, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terkini melaporkan prevalensi berat badan berlebihan dan obesiti pada 50 peratus bagi orang dewasa dan 30 peratus bagi kanak-kanak dan diramalkan meningkat setiap tahun.

“Obesiti sering dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit hati berlemak atau disebut Metabolic Dysfunction Associated Fatty Liver Disease (MAFLD) yang dengan cepat menjadi punca paling utama kanser hati.

“Namun, kanser hati boleh dicegah sama ada melalui imunisasi Hepatitis B atau rawatan awal penyakit hati yang dikesan pada pesakit yang diketahui hepatitis atau sirosis.

“Tidak dinafikan kanser semakin meningkat. Saya percaya sebagai sebuah komuniti, kita harus mempelajari apa itu kanser dan yang paling penting untuk menghapuskan ‘pantang larang’ di sebalik perkataan ‘kanser’,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini