Tumpuan :
Nasional

Kes kematian kucing: Wujud potongan sistematik, NGO Haiwan gesa siasatan terperinci

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) digesa mewujudkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat secara terperinci kes kematian kucing yang dipercayai dibunuh dengan sadis di universiti itu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika menegaskan siasatan telus diperlukan untuk meleraikan keresahan dalam kalangan masyarakat khususnya pencinta haiwan.

Beliau mengeluas kejadian yang dilaporkan tular di media sosial hari ini mengenai seekor lagi kucing ditemui mati dengan keempat-empat kaki hilang di univerisiti tersebut.

“Apa yang masyarakat mahu adalah bagaimana sistem keadilan itu boleh berjalan.

“Jadi satu penyiasatan yang komprehensif perlu dilakukan oleh universiti memandangkan pihak universiti ini satu tempat akademik,” katanya kepada Buletin TV3.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika ditemui Buletin TV3 di ibu negara, hari ini.

Beliau yang juga Penganalis Jenayah Haiwan berkata, siasatan perlu mengambil kira semua kaedah termasuk melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan menawarkan ganjaran kepada saksi yang dapat mengemukakan bukti lengkap kejadian.

Mengulas berkenaan kesan kecederaan pada haiwan tersebut, Arie berkata ia menimbulkan persoalan dimana berdasarkan prinsip penyiasatan di lokasi kejadian, ia perlu mengambil kira beberapa perkara seperti kesan tapak kaki haiwan liar, percikan darah dan cebisan haiwan yang menjadi mangsa.

“Mana mungkin tiada kesan-kesan tersebut di lokasi kejadian.

“Lebih mendatangkan kecurigaan, kes luka itu kesan potongan yang sistematik, bererti ia satu perbuatan, bukan satu serangan.

“Ini orang kata elemen kecurigaan itu ada dalam penyiasatan. Saya minta jangan sorok dan telus supaya tiada persoalan selain tohmahan.” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, Jabatan Veterinar mengesahkan kucing yang ditemui mati di kampus universiti terbabit disebabkan gigitan anjing liar.

Bagaimanapun, setakat jam 3 petang tadi, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis yang dibuat berhubung kes berkenaan.

“Semakan dengan pihak Keselamatan UM mengesahkan pihak Pentadbiran UM ada menerima maklumat berkaitan kes tersebut dan siasatan dalaman telah dijalankan.

“Makluman dari pihak keselamatan UM, laporan awal dari Jabatan Veterinar menyatakan kesan yang ada pada kucing adalah disebabkan oleh gigitan bintang liar,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini