comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes kematian mengejut dalam golongan 40 tahun ke bawah semakin meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Golongan populasi berusia 40 tahun dan ke bawah di negara ini yang mengalami Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) terutama akibat serangan jantung dan strok, semakin meningkat.

Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP Dr Denesh Sinna berkata, ini mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular, berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang semasa Perintah Kawalan Pergerakan apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

“Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif),” katanya.

Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP Dr Denesh Sinna.

Dr Denesh berkata, tahap tekanan yang tinggi, kurang tidur dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS.

Tambahnya, simpton SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas dan kerana itu langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.

“Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung. Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini