comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes khidmat khas, bomba temui dua mayat di lokasi berasingan

IPOH: Bomba Perak menerima dua kes khidmat khas membabitkan dua lelaki yang masing-masing ditemukan mati dalam dua rumah berasingan sekitar Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azmil Kamaruddin, berkata panggilan pertama diterima jam 1.20 tengah hari tadi membabitkan mangsa lelaki warga emas berusia 80-an di Taman Pinji Mewah.

Beliau berkata, anggota dari BBP Pasir Puteh kemudiannya ke lokasi.

Panggilan kedua khidmat khas memecahkan pintu diterima jam 7.16 malam membabitkan mangsa lelaki juga warga emas berusia 70-an di Jalan Bunga Kala, Taman Pinji.

Difahamkan, mayat mangsa yang ditemukan di Taman Pinji sudah mereput dan dalam keadaan berulat di bahagian ruang tamu rumah itu, sementara mayat yang ditemukan di Taman Pinji Mewah difahamkan dalam keadaan sempurna dan berada berdekatan katil.

Azmil berkata, kedua-dua khidmat khas memecahkan pintu di dua rumah itu dijalankan selepas menerima maklumat dari polis yang memaklumkan mangsa berada dalam rumah yang terkunci.

“Anggota bertindak memecahkan pintu menggunakan peralatan khas. Kedua-dua mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang tiba di lokasi.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Loading...
Terkini