comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes kontena terbang: 3 lagi pegawai Kastam ditahan bersama wang tunai RM3 juta

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki terbabit dalam kes ‘kontena terbang’ atau kontena lari cukai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menemui wang tunai sejumlah lebih RM3 juta susulan penahanan tersebut.

“Saya telah mengarahkan Timbalan saya (Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) – Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya) untuk mendedahkan penemuan wang ini yang begitu besar dalam kalangan mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ di sini hari ini.

Pada 6 Jun lalu, tujuh individu termasuk pegawai JKDM terlibat dalam kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor ditahan dalam Op Transit.

Kesemua yang ditahan itu disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan JKDM pada 5 Jun lalu berjaya menahan 19 kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Daripada pemeriksaan yang dibuat, sebanyak lima kontena telah dibuka dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED), lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

Mengulas lanjut, menurut Azam, beberapa individu lagi akan disiasat malah akan ditahan sekiranya ada keperluan.

Selain itu, pihaknya telah memulakan permohonan melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menahan seorang warga Singapura yang dipercayai dalang kegiatan itu.

“Permohonan kepada negara luar memerlukan kelulusan AGC tetapi kita juga telah membuat rangkaian perisikan dengan Singapura bagi mengesan pihak terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Azam dilaporkan berkata, SPRM sedang memburu tiga individu disyaki terbabit dalam kes berkenaan termasuk seorang warga Singapura yang dipercayai dalang kegiatan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini