Tumpuan :
Nasional

Kes MA pukul doktor tidak boleh diambil ringan – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyantuni mangsa banjir di PPS MRSM Tumpat, hari ini. – FOTO NSTP

TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengumumkan sudah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat dakwaan seorang doktor dipukul penolong pegawai perubatan (MA) lelaki di Hospital Gerik, Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dilapor berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan pada hari sama doktor lelaki berkenaan membuat aduan, iaitu 4 Jun lalu dengan siasatan dilaksanakan pada 12 Jun kemudian, mendapati aduan itu berasas.

Susulan itu, Pengarah Hospital Gerik sudah mengeluarkan surat teguran kepada pegawai terbabit pada 31 Julai dengan surat pemakluman hasil siasatan dalaman dihantar kepada pengadu, Dr Aidid Nawawi Ghazali pada 1 Ogos.

Dr Feisul Idzwan dipetik berkata, Jabatan Kesihatan Perak juga sudah berhubung dengan pengadu serta menawarkan khidmat kaunseling dan menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius perlakuan buli atau penggunaan sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula hari ini menegaskan dakwaan doktor dipukul penolong pegawai perubatan di Hospital Gerik tidak boleh diambil ringan walaupun ia dianggap kes terpencil dan tidak menjejaskan imej perkhidmatan kesihatan.

“Ia tidak jejaskan imej perkhidmatan kesihatan kerana kes sebegini timbulnya sesekali, tapi kita tak boleh ambil ringan,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini.

Mengenai tindakan pihak kementerian, beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM akan membuat keputusan selepas pihak berkuasa itu selesai menyiasat.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan dengar dulu dapatan siasatan PDRM. Selepas itu, kita akan tubuhkan panel siasatan kita juga seperti mana sekarang sudah ada satu panel bebas yang dipimpin oleh Tan Sri Borhan Dollah,” katanya.

Isnin lalu, seorang pengguna Facebook di bawah akaun Aidid Nawawi Ghazali, mendakwa dipukul sembilan kali, iaitu tujuh pada belakang badan dan dua lagi pada kepala oleh seorang penolong pegawai perubatan lelaki.

Doktor itu mendakwa, kejadian ketika beliau sedang merawat seorang pesakit wanita yang cedera akibat diserang dan aurat pesakit itu terdedah.

Dakwanya lagi, penolong pegawai perubatan yang beliau gelar Mr H itu bukan dari pasukan kecemasan, namun masuk ke bilik rawatan hospital atas alasan mengenali pesakit wanita itu ketika sekolah menengah.

Doktor itu mendakwa, beliau dengan sopan mengiringi Mr H keluar dari bilik rawatan sambil menjelaskan lelaki berkenaan tidak sepatutnya berada di situ kerana tidak mempunyai pertalian darah dengan pesakit.

“Tidak lama kemudian, Mr H masuk ke dalam bilik rawatan sekali lagi, kali ini ketika pegawai polis hadir untuk mengambil keterangan pesakit.

“Saya mengingatkan Mr H, dia tiada urusan untuk berada di situ, terutama apabila aurat pesakit terdedah. Bagaimanapun, Mr H memukul saya tujuh kali di bahagian belakang dan dua kali di kepala saya.

“Saya dipukul, dihina dan dibiarkan terkejut, sementara rakan sekerja dan pegawai polis hanya berdiri di situ. Mr H keluar seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.

Aidid Nawawi mendakwa, berasa tidak adil dengan rumusan siasatan dalaman ekoran pelaku tidak menerima apa-apa tindakan, tidak memohon maaf dan kekal boleh bekerja seperti biasa, sementara beliau trauma akibat kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini