comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes pecah tabung masjid, surau di Melaka meningkat 163 peratus – JAIM

Foto Hiasan

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu mempertingkatkan kawalan keselamatan ekoran peningkatan kes kecurian dan pecah tabung sebanyak163 peratus pada tahun lalu.

Tegas Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, situasi yang semakin membimbangkan itu perlu dicegah agar ia tidak berlarutan pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan setiap masjid dan surau melantik pengawal keselamatan selain memasang litar kamera tertutup (CCTV) di kawasan yang dijangka berlaku jenayah.

“Setiap pengurusan masjid dan surau hendaklah memasang CCTV bagi keselamatan di premis masing-masing.

“CCTV yang rosak dan tidak berfungsi hendaklah diganti dan diselenggara.

“Kualiti CCTV hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik bagi memastikan kualiti rakaman berada dalam keadaan yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat

Menurut Che Sukri, pihak pengurusan masjid dan surau diminta membuat kutipan dan mengosongkan tabung setiap hari.

Tabung juga kata beliau, perlu diletakkan di tempat yang terang, jelas dan berlampu terutama di laluan masuk ke masjid dan surau.

“Bagi tabung yang dikelolakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti tabung kutipan Palestin, pembinaan madrasah atau rumah anak yatim diminta agar tidak ditinggalkan di ruang terbuka masjid atau surau. Pihak pengelola sewajarnya bertanggungjawab terhadap tabung berkenaan,” jelasnya.

Menurut Che Sukri, pihak pengurusan masjid dan surau juga diminta mengadakan hubungan baik dengan pihak persatuan penduduk kampung atau taman dalam mengawal keselamatan premis berkenaan.

“Persatuan penduduk kampung atau taman boleh membuat rondaan berkala di masjid dan surau bagi memastikan kejadian pecah tabung dapat dicegah,” katanya.

Tambau beliau, walaupun beberapa tangkapan terhadap suspek yang melakukan kegiatan pecah tabung masjid dan surau berjaya dilakukan pihak polis, namun langkah keselamatan di pihak pengurusan premis perlu sentiasa dipertingkatkan.

Loading...
Terkini