comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kes pemalsuan ujian urin babitkan pembantu makmal, bukannya pakar patologi’

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan urusan pengujian sampel air kencing adalah di bawah skop tugas juruteknologi makmal perubatan (JTMP) dan ia tidak membabitkan pegawai perubatan pakar patologi.

Susulan itu, KKM berkata, kakitangan yang terbabit dalam kes pemalsuan keputusan ujian urin itu tidak membabitkan pakar patologi, sebaliknya pembantu makmal yang kini disiasat pihak berkuasa.

“Individu yang terbabit dalam kes pemalsuan keputusan ujian urin itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan KKM itu turut  dimuat naik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di laman X miliknya.

Menerusi ciapannya, beliau berharap media lebih teliti sebelum menerbitkan berita khususnya yang terkait dengan KKM supaya tidak mencetuskan kecurigaan umum terhadap perkhidmatan kementerian itu.

Sebelum ini, Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Dr Sal Atan menafikan 10 pakar patologi dipindah keluar daripada hospital terbabit berikutan pemalsuan keputusan ujian air kencing.

Laporan media sebelum ini menyebut 10 pakar patologi HSAJB didakwa terbabit dalam menyediakan sampel air kencing yang dipalsukan dalam kes penyalahgunaan bahan terlarang dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.

KKM berkata, pihaknya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan, malah HSAJB sentiasa bekerjasama dengan SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan.

“KKM ingin memaklumkan semua fasiliti kesihatan KKM termasuk HSAJB komited memastikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti kepada semua lapisan masyarakat, ” katanya.

Loading...
Terkini