comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes pemerasan: 2 anggota polis ditahan bantu siasatan, kini kembali bertugas

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang ditahan bagi membantu kes pemerasan terhadap orang awam di Bangunan Sultan Ismail (BSI), kembali bertugas sehingga mereka dikenakan perintah tahan kerja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata perintah tahanan reman terhadap kedua-dua anggota polis terbabit tamat hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, disebabkan tiada perintah tahan kerja dikenakan, jadi mereka sudah kembali bertugas seperti biasa.

“Mereka kini kembali bertugas di bawah kontinjen Johor seperti biasa sehingga ada arahan perintah tahan kerja (jika ada),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Semalam, polis Johor menyatakan akan mengemukakan surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggota polis yang terbabit dalam dua kes pemerasan di BSI di sini.

Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan seorang mangsa dengan meminta bayaran RM2,000 untuk tidak dikenakan tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kejadian awal bulan ini.

Mereka ditahan sekali lagi pada Sabtu lalu bagi pengaduan yang dikemukakan seorang mangsa berusia 50 tahun yang didakwa diugut kedua-dua suspek ketika berada di BSI, pada 4 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini