Tumpuan :
Nasional

Kes pensyarah didakwa hina Nabi: KPT serah kepada polis untuk siasatan

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.- Foto fail

MANJUNG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan seorang pensyarah didakwa menghina Nabi Muhammad SAW ketika berceramah di sebuah konvensyen, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya telahpun meminta siasatan dilakukan segera, termasuk laporan lengkap mengenai insiden berkenaan, sejurus isu itu tular.

“Saya dimaklumkan perkara itu telah dalam siasatan polis dan satu kertas siasatan dibuka, jadi lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa.

“Pada peringkat kementerian pula, kita akan menunggu maklum balas dan hasil dapatan lanjut tetapi setakat ini, saya belum menerima laporan lengkap mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program ‘In Person With Doc Zam@Lumut’ dan Pelancaran Inisiatif Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (Sasar KPT), di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu selepas pengadu memaklumkan terkesan dengan satu hantaran dalam Facebook yang menyatakan seorang pensyarah didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dalam program dikendalikan oleh individu berkenaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini