JOHOR BAHRU: Empat individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan penyalahgunaan permohonan visa asing berjumlah RM1.2 juta.
Tiga suspek termasuk pegawai kanan Imigresen Johor, termasuk seorang wanita, manakala individu keempat dipercayai seorang pengarah syarikat yang terbabit dalam pembekalan peralatan pejabat termasuk peralatan elektrik dan elektronik, alat keselamatan, perkhidmatan pembersihan pejabat serta bangunan. Difahamkan, pegawai imigresen wanita berusia 40 tahun itu ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan, manakala tiga lagi suspek termasuk ahli perniagaan dijangka direman, hari ini.
Pegawai imigresen itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, manakala pengarah syarikat ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Negeri Sembilan.
Pengarah SPRM Negeri Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan kes ini sedang disiasat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM Putrajaya.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.
Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, suspek didakwa bersekongkol dengan ejen pengurusan visa asing untuk membenarkan warga asing melanjutkan tempoh tinggal mereka di Malaysia secara haram.
Operasi haram ini dipercayai menjana keuntungan besar melalui rasuah dan transaksi tidak sah.
Rasuah sebanyak RM1.2 juta didakwa diterima untuk memanipulasi lanjutan permit tinggal bagi warga asing.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Difahamkan siasatan memberi tumpuan untuk menjejaki aliran dana dan mengenal pasti individu atau entiti lain yang terbabit dalam skim ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, ketika dihubungi New Straits Times menyatakan bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan kemudian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.